Saturday, March 14, 2009

Kisah Salahudin Al-Ayyubi


Salahuddin dibesarkan sama seperti anak-anak orang Kurd biasa . Pendidikannya juga seperti orang lain, belajar ilmu-ilmu sains di samping seni peperangan dan mempertahankan diri. Tiada siapapun yang menjangka sebelum ia menguasai Mesir dan menentang tentera Salib bahawa anak Kurd ini suatu hari nanti akan merampas kembali Palestin dan menjadi pembela akidah Islamiah yang hebat. Dan tiada siapa yang menyangka pencapaiannya demikian hebat sehingga menjadi contoh dan perangsang memerangi kekufuran sehingga ke hari ini.

Apabila Salahuddin menguasai Mesir, ia tiba-tiba berubah. Ia yakin bahawa Allah telah mempertanggungjawabkan kepadanya satu tugas yang amat berat yang tak mungkin dapat dilaksanakan jika ia tidak bersungguh-sungguh. Bahauddin telah menuliskan dalam catatannya bahawa Salahuddin sebaik-baik sahaja ia menjadi pemerintah Mesir, dunia dan kesenagannya telah lenyap dari pandangan matanya. Dengan hati yang rendah dan syukur kepada Allah ia telah menolak godaan-godaan dunia dan segala kesenangannya.Salahuddin pernah berkata, “Ketika Allah menganugerahkan aku bumi Mesir, aku yakin Dia juga bermaksud Palestin untukku. Ini menyebabkan ia menjuarai perjuangan Islam. Sehubungan dengan ia telah menyerahkan dirinya untuk jalan jihad.

Fikiran Salahuddin sentiasa tertumpu kepada jihad di jalan Allah. Bahauddin telah mencatatkan bahawa semangat Salahuddin yang berkobar-kobar untuk berjihad menentang tentera Salib telah menyebabkan jihad menjadi tajuk perbincangan yang paling digemarinya. Ia sentiasa meluahkan seluruh tenaganya untuk memperkuat pasukan tenteranya, mencari mujahid-mujahid dan senjata untuk tujuan berjihad. Jika ada sesiapa yang bercakap kepadanya berkenaan jihad ia akan memberikan sepenuh perhatian. Sehubungan dengan ini ia lebih banyak di dalam khemah perang daripada duduk di istana bersama sanak keluarga. Siapa sahaja yang menggalakkannya berjihad akan mendapat kepercayaannya.

Pada hari Jumaat, 27 Rajab, 583H, iaitu pada hari Isra’ Mi’raj, Salahuddin telah memasuki bandar suci tempat Rasulullah saw. naik ke langit. Dalam catatan Bahauddin ia menyatakan inilah kemenangan atas kemenangan. Ramai orang yang terdiri dari ulama, pembesar-pembesar, peniaga dan orang-prang biasa datang meraikan gembira kemenangan ini. Kemudiannya ramai lagi orang datang dari pantai dan hampir semua ulama-ulama dari Mesir dan Syria datang untuk mengucapkan tahniah kepada Salahuddin. Boleh dikatakan hampir semua pembesar-pembesar datang. Laungan “Allahhu Akbar” dan “Tiada tuhan melainkan Allah” telah memenuhi langit. Selepas 90 tahun kini sembahyang Jumaat telah diadakan semula di Baitul Muqaddis. Salib yang terpampang di ‘Dome of Rock’ telah diturunkan. Betapa hebatnya peristiwa ini tidak dapat digambarkan. Hanya Allah sahaja yang tahu betapa hebatnya hari itu.

Jadi, saya menyeru kepada semua umat islam di seluruh dunia, marilah kita sama-sama menanam sifat jihad di dalam diri kita. Sekurang-kurangnya, kita sudah pun berusaha bersunguh2 untuk menegakkan semula kedaulatan islam. Semoga Islam dapat bersinar kembali. Insyaallah.

No comments:

Post a Comment